TAHUN Baru 2009 dan Muharam 1430, membuka tirai untuk kita terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara selain terus berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan mentaati suruhan Allah.
Kali ini ada baiknya mengaitkan mengenai satu pengalaman sebagai usaha mengeratkan lagi harmoni sebuah rumah tangga serta pasangan suami isteri yang dihiasi dengan anak-anak terutama di kalangan keluarga nelayan dan kaki pancing.
Jujur dan ikhlas adalah faktor utama atau asas dalam hubungan suami dan isteri walau dalam apa juga keadaan. Bagi warga kaki pancing yang sering merancang sama ada ke laut atau di mana saja daratan, sungai, lombong, tasik atau paya maka mereka harus berkongsi pendapat dengan isteri, ibu atau ayah.
Bergerak keluar meninggalkan rumah untuk mencari rezeki atas restu baik daripada isteri serta dalam pengetahuan ahli keluarga pastinya mendapat pahala. Selain itu, perjalanan mereka Insya-Allah akan dirahmati Allah selain mendapat kelapangan dan selesa serta mendapat rezeki yang diberkati-Nya.
Namun ada sebilangan kaki pancing yang tidak jujur kepada isteri atau membohongi ahli keluarga. Mereka mencipta atau mengadakan pelbagai alasan walaupun hakikat sebenarnya mereka hendak turun memancing. Mereka tidak berani memberitahu perkara sebenar sehingga akhirnya mereka menanggung dosa kerana berbohong. Niat baik (hendak pergi memancing) tetapi terpaksa menanggung dosa (kerana berbohong). Malah ada yang beranggapan tindakan itu sebagai ‘bohong sunat’.
Perkara begini pasti kurang disenangi oleh isteri selain anak mahupun ibu bapa. Malah, Allah tidak memberkati setiap langkah suami yang membohongi isteri. Pada masa sama rezeki yang dicari untuk keluarga itu turut tidak direstui Allah.
Bertitik tolak dari sinilah maka saya terpanggil untuk mengajak semua kaki pancing supaya dapat berkongsi bersama dengan isteri dalam apa juga aktiviti yang ada hubung kait dengan memancing dan berterus terang lokasi yang bakal dituju dan lamanya setiap ekspedisi.
Kalangan isteri tentu menghargai atas kejujuran suami yang turut menjadi satu tanggungjawab baginya mengetahui usaha yang dilakukan suami bagi mendapat keberkatan. Malah usaha murni ini juga mewujudkan kasih sayang antara suami isteri. (Cuma di kalangan isteri perlu memberi peluang suami melakukan hobi memancingnya pada tahap berpada-pada).
Tidak ada rahsia yang patut diselindungkan antara suami isteri demi kebaikan terutama ketika mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah. Ini penting kerana rezeki daripada perbuatan yang membohongi isteri tentunya tidak berkat.
Justeru, jujurlah kepada isteri untuk mendapat keredaan Allah serta beroleh kesenangan di dunia dan akhirat Insya-Allah.
Pergilah memancing di mana saja kerana Allah berserta dengan hamba-Nya yang jujur.
Monday, February 2, 2009
Bohongi isteri tidak diberkati Allah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment